Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus melakar sejarah gemilang apabila menerima watikah pelantikan sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan (Sports Industry Centre of Excellence) sempena ASEAN Sports Industry Expo 2025. Watikah pelantikan ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, disaksikan oleh YB Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran, sumbangan dan kepimpinan UiTM dalam memperkukuh ekosistem industri sukan di Malaysia dan rantau ASEAN.
Majlis penuh berprestij ini turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin (Dekan FSR) yang mewakili Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc. Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi FSR: Dr. Siti Aishah Wahab (Timbalan Dekan HEA), Profesor Madya Dr. Hosni Hasan (Timbalan Dekan PJI ICAN), Dr. Azlina Zid (Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Sukan), Dr Mohd Helme Basal dan Adam Afif Mohamad Azmi (Koordinator Misi Akademik) yang mewakili UiTM dalam menerima pengiktirafan tersebut. FSR turut membuka booth pameran bersama rakan industri lain sepanjang penganjuran expo yang berlangsung selama tiga hari dari 17 hingga 19 Oktober 2025 di Setia City Convention Centre sebagai platform mempamerkan inovasi, kepakaran dan potensi kerjasama strategik dalam bidang pengurusan industri sukan.

 
        

