Program Step Together telah berlangsung pada 20 Jun 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan Klang dengan penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang mengalami ketidakupayaan penglihatan. Program ini dianjurkan oleh pelajar Semester 6, SR243 Sains Sukan, UiTM Shah Alam sebagai sebahagian daripada pelaksanaan kursus SPS652: Sports for Person With Disabilities. Objektif program ini adalah untuk memenuhi keperluan akademik serta meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar mengenai pelaksanaan sukan untuk orang kurang upaya secara praktikal dan inklusif.
Tiga aktiviti utama telah dijalankan iaitu Senamrobik Adaptif, Friendly Goalball, dan Red Light Green Light (Squid Game). Aktiviti senamrobik bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan pemanasan badan serta menggalakkan interaksi dua hala antara pelajar FSR dan pelajar PPKI. Seterusnya, sukan Goalball dijalankan dalam suasana menyeronokkan yang menekankan kerjasama, komunikasi dan keyakinan diri melalui elemen bunyi. Aktiviti Red Light Green Light pula melatih fokus, koordinasi, serta keupayaan tindak balas peserta terhadap isyarat bunyi dengan pendekatan yang santai dan mencabar.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat dalam menyediakan pengalaman fizikal yang menyeronokkan dan sesuai untuk pelajar berkeperluan khas penglihatan. Suasana inklusif yang terhasil telah membantu meningkatkan kefahaman dan empati dalam kalangan pelajar UiTM, sambil memberikan peluang bermakna kepada pelajar PPKI untuk bersenam secara aktif dan selamat. Program ini diharap menjadi inspirasi untuk lebih banyak kolaborasi antara institusi pengajian dan komuniti pendidikan khas di masa akan datang.

