Select your language

SUKANEKA INKLUSIF 2025

Program Sukaneka Inklusif 2025 telah berjaya dianjurkan pada 20 Jun 2025 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Putrajaya Presint 14, dengan penyertaan seramai 35 orang murid berkeperluan khas. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar Semester 6, Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) kelas SR2436S1B, sebagai sebahagian daripada kursus SPS652: Sports for Person with Disabilities. Tujuan utama program adalah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap aktiviti fizikal secara menyeronokkan dan inklusif, serta menyemai nilai empati dan integrasi dalam kalangan pelajar dan peserta.
 
Lima aktiviti utama telah dijalankan dengan modifikasi mengikut tahap keupayaan peserta, termasuk aktiviti tolak bola ke dalam gol, pilih dan masukkan pundi kacang, baling ke sasaran, arahan gaya “Simon says”, serta tarian berirama. Aktiviti dijalankan secara berpasukan dengan pendekatan kejurulatihan asas yang adaptif, disertai sesi senamrobik dan permainan pemanasan interaktif. Penekanan turut diberi kepada kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan dan keseronokan sepanjang program.
 
Majlis penutup berlangsung dalam suasana santai dengan maklum balas positif daripada guru-guru PDK yang menghargai pendekatan mesra pelajar UiTM. Para peserta, guru dan ibu bapa turut sama-sama bergambar sebagai kenangan. Ucapan penghargaan disampaikan kepada semua yang terlibat, khususnya pelajar UiTM yang menunjukkan komitmen tinggi. Semoga program ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif sukan inklusif di masa hadapan.
 

CONTACT US

Faculty of Sports Science & Recreation

Bangunan Akademik 3, Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam, Selangor, MALAYSIA

Tel : (+603) 55442912/2913 
Faxs : (+603) 55442910 

Email : fsr@salam.uitm.edu.my 

           

           

AduanCadangan