Shah Alam, 9 Julai 2025 - Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA, telah menganjurkan sesi Perbincangan Meja Bulat Semakan Kurikulum Program Akademik bagi tujuan penambahbaikan dan penyemakan semula struktur serta kandungan program pengajian sedia ada.
Sesi tersebut telah dihadiri oleh seramai 14 wakil industri, 15 orang alumni serta 5 orang pelajar daripada fakulti, yang mewakili pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan profesional, dan institusi berkaitan dengan industri sukan.
Penglibatan pelbagai pihak ini adalah sejajar dengan pendekatan berteraskan kerjasama pelbagai pihak (multi-stakeholder engagement) dalam proses penambahbaikan kurikulum secara berterusan.
Tujuan utama sesi ini adalah untuk mendapatkan maklum balas yang konstruktif dan pandangan kritikal yang dapat membantu fakulti merangka kurikulum yang lebih komprehensif, relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa dan akan datang. Pendekatan ini juga bertujuan memastikan program-program akademik FSR kekal kompetitif dan mampu melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha fakulti dalam memperkukuhkan pematuhan terhadap piawaian dan garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA), khususnya dalam aspek penilaian semula hasil pembelajaran, struktur kursus, dan kesesuaian kandungan dengan keperluan industri mengikut perkembangan semasa dalam bidang sains sukan, pengurusan sukan dan rekreasi.