Satu program sukan meriah bertemakan FSR Sports Carnival 2.0 2025 telah berjaya dianjurkan pada 4 Julai 2025 bertempat di Pusat Sukan, UiTM Shah Alam. Program ini melibatkan penyertaan seramai 40 orang murid dari PASTI Az Zahra 3, Shah Alam.
Acara ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar Semester 5, Diploma Pengajian Sukan (SR113 & SR115) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan kursus SPS280: Methodology of Sport Training and Coaching.
Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak melalui pendekatan kejurulatihan asas yang merangkumi elemen penting seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, serta pemikiran kritis dan kreatif. Program ini turut diharapkan menjadi satu inisiatif bermanfaat dalam memperkenalkan sukan sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif bagi kanak-kanak.
Empat jenis sukan telah diperkenalkan kepada peserta cilik iaitu Futsal, Badminton, Bola Keranjang, dan Taekwondo dan kesemuanya direka khas untuk memastikan penglibatan aktif dan keseronokan sepanjang program berlangsung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik, Dr. Siti Aishah Wahab, dan turut dihadiri oleh pensyarah FSR, Dr. Nur-Hasanah Ruslan serta penasihat program, Puan Nur Asmidar A Halim. Kehadiran guru-guru pengiring dan sebahagian ibu bapa kanak-kanak dari PASTI Az Zahra 3 turut memeriahkan lagi acara.