Telah berlangsung Program Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara pada 4 Julai 2025 bertempat di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara. Program ini merupakan inisiatif pelajar Semester 3 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Objektif utama program adalah untuk menzahirkan penghargaan dan keprihatinan terhadap sembilan (9) bekas atlet negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, namun kini diuji dengan masalah kesihatan dan ketidakupayaan untuk bekerja. Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan FSR, bersama YBhg. Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Pengerusi YAKEB dan Encik Mohamed Sadek Mustafa, Pensyarah Kanan FSR.
Seramai 85 orang pelajar terlibat secara aktif dalam perancangan dan pelaksanaan program ini di bawah penyelarasan dan bimbingan pensyarah pengiring, Encik Mohamed Sadek Mustafa dan Encik Muhammad Zakwan Rusydi Suhaimi.
Turut memeriahkan sesi Meet and Greet with The Legends ialah tokoh sukan tersohor tanah air seperti Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Dato’ Rajagobal, R. Sharmendran, Dato’ Malek Noor, Lee Yuk Fah, Karamjit Singh, Rosman Alwi, dan Goh Liu Ying.