Satu kunjungan hormat daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam ke Institut Sukan Negara (ISN) telah, diketuai oleh Dekan FSR, Profesor Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, bersama barisan pengurusan fakulti iaitu Dr. Siti Aishah Wahab (Timbalan Dekan HEA), Dr. Mohd Zulkhairi Azam (Timbalan Dekan HEP), Profesor Madya Dr. Hosni Hasan (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi/ICAN) dan Dr. Raihana Sharir (Koordinator Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan). Delegasi FSR telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy, bersama Dr. Ahmad Zawawi Bin Zakaria (Pengarah Bahagian Prestasi Sukan) dan Dr. Ahmad Munawwar Helmi Bin Salim (Pengarah Bahagian Perubatan Sukan).
Pertemuan ini membincangkan pelbagai agenda penting seperti penempatan pelajar praktikal FSR di ISN, kerjasama dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi, serta penyertaan pakar industri dari ISN dalam proses semakan kurikulum program akademik FSR. Turut disentuh ialah potensi penglibatan alumni FSR yang kini berkhidmat di ISN sebagai penyumbang kepakaran kepada pelajar dan fakulti, termasuk peranan mereka sebagai penceramah jemputan atau mentor lapangan.
FSR dan ISN turut menjalin kesepakatan untuk memperluaskan penglibatan pelajar FSR dalam pelbagai program anjuran ISN melalui platform sukarelawan sukan, penganjuran bersama program pembangunan atlet, serta pemerkasaan agenda sains sukan negara. Kunjungan ini membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi sukan kebangsaan ke arah pembangunan modal insan dan kecemerlangan sukan negara.