Select your language

MENYANTUNI PROSPEK MUDA DI UiTM PERFORM

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA telah melaksanakan Program Misi Akademik FSR @ UiTM Perform yang berlangsung hari ini di Pusat Asasi UiTM Dengkil. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan program pengajian serta laluan kerjaya dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan kepada pelajar asasi melalui pendekatan interaktif dan berinformasi. Sepanjang program, para pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pensyarah dan pelajar FSR melalui aktiviti ujian kecergasan seperti handgrip test dan standing broad jump serta pameran di ruang booth. Seramai 115 pelajar telah mengunjungi booth FSR dan memberikan maklum balas yang amat memberangsangkan.
 
Misi akademik ini diketuai oleh Penyelaras Misi Akademik FSR, En. Adam Afif Mohamad Azmi, bersama barisan pensyarah iaitu Encik Muhammad Faizal Kutip, Encik Mohd Azim Nural Azhan, Puan Masitha Alwi dan Encik Syafiq Irfan Mohd Khaderi. Turut membantu menjayakan program ialah pelajar FSR, Muhammad Adli, Muhammad Jazzrey dan Ika Emelyn. Pendekatan mesra pelajar yang diketengahkan membolehkan peserta memahami secara lebih jelas skop pengajian, kemahiran praktikal serta peluang kerjaya dalam bidang sains sukan dan rekreasi.
 
Program ini turut menerima kunjungan kepimpinan universiti iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Yamin Yasin, Dekan FSR, Prof. Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik FSR, Dr. Siti Aishah Wahab. Kehadiran pihak pengurusan tertinggi ini mencerminkan sokongan berterusan universiti terhadap usaha memperkasa promosi akademik dan memperluas akses pendidikan kepada bakal pelajar. Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada minat pelajar asasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains sukan dan pengurusan sukan di FSR UiTM.
 

CONTACT US

Faculty of Sports Science & Recreation

Bangunan Akademik 3, Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam, Selangor, MALAYSIA

Tel : (+603) 55442912/2913 
Faxs : (+603) 55442910 

Email : fsr@salam.uitm.edu.my 

           

           

AduanCadangan